Kecekapan penjaga gawang dan ketangkasan barisan pertahanan merupakan kunci utama skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencipta kejutan dalam menutup kempen Piala Tan Sri P. Alagendra 2019, semalam.

Daripada 12 pukulan sudut penalti yang diperoleh Terengganu Hockey Team (THT), tiada satupun yang berjaya menembusi gawang pasukan TNB.

Selain penjaga gol, S. Kumar, yang cemerlang menepis beberapa siri percubaan berbahaya lawan, faktor pelari pertama skuad TNB, Syed Syafiq Syed Cholan, yang tangkas menutup ruang membuat barisan pakar pukulan sudut penalti THT buntu mencari jaringan.

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, sebenarnya sudah menjangka situasi tersebut dan menjelaskan latihan pertahanan sejak beberapa minggu lalu membuahkan hasil, sekali gus menghadiahkan trofi pertama untuk TNB dalam tempoh sembilan tahun.

"Kami telah melakukan latihan untuk menyerap percubaan THT menerusi pukulan sudut penalti. Mereka dibarisi pemain yang mampu menghukum kami menerusi percubaan tersebut," kata Nor Saiful.

Buat THT, mereka akur biarpun untuk seketika mereka berpeluang untuk mendahului, namun gagal memanfaatkan peluang sedia ada.

Pengendalinya, I. Vickneswaran, mempunyai tempoh empat hari untuk memperkemaskan kembali barisan serangannya kerana selepas ini mereka bakal berhadapan dengan UniKL dalam aksi Piala Sumbangsih, Jumaat ini.

"Kami baru sahaja berlatih selama seminggu, terdapat banyak perkara yang perlu diperbetulkan sebelum menghadapi musim baru," katanya.