Pesta Hockademy KL selaku juara Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) terjejas apabila menerima bantahan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) yang mempersoalkan kesahihan status kelab itu sebagai ahli gabungan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA).

Persatuan Hoki Terengganu menghantar surat bantahan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) semalam yang mempertikaikan kesahihan status Hockademy KL.

Surat ini mendakwa Hockademy KL mengesahkan penyertaan dalam LHWM lebih awal berbanding memohon untuk jadi ahli gabungan KLHA.

Namun, pemilik Hockademy KL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, menafikan dakwaan ini.

"Proses dokumentasi telah dihantar kepada KLHA, pembayaran telah dibuat dan [kami] telah menerima resit pembayaran namun mesyuarat yang masih tidak dijalankan," katanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memberikan tempoh hingga jam 2 petang Rabu ini untuk Hockademy KL mengesahkan status mereka.

Kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan kempen mereka dalam liga dan Piala Vivian May Soar.

"Saya akan memanggil jawatankuasa teknikal bagi menjalankan mesyuarat mengenai hal ini dan membuat keputusan pada Rabu ini mengenai status Hockakademy KL," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Anil Jeet Singh.

Hockademy KL baru-baru ini meraikan kejayaan menjuarai LHWM dengan kemenangan 13-0 ke atas Mutiara Impian.

Penyerang, Nor Shafiqa Ishak, mencuri tumpuan apabila meledak lima gol.

Kemenangan itu bermakna Hockademy KL mengumpul 25 mata selepas 10 perlawanan, berkelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat TLHT.

Bagaimanapun, skuad kendalian Iman Gobinathan Abdullah, meraikan kejayaan ini tanpa piala liga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

"[Saya] bersyukur di atas kejayaan pertama pasukan Hockakademy. Kejayaan yang diraih bukan mudah namun berjaya memastikan aksi yang berkualiti," kata kapten Hockakademy KL, Nuraini Abd Rashid.

"Mengekalkan aksi konsisten dengan lapan kemenangan dan satu seri bukanlah satu usaha yang mudah, namun setiap pemain telah memberikan yang terbaik untuk kejayaan ini," kata Iman.