Skuad hoki lelaki Perak tekad mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut dalam Kejohanan Hoki Lelaki dan Wanita B-16 Tahun Kebangsaan TNB-KHM 2019 yang akan bermula esok.

Pengurus Perak, Khairul Aufa Mohamed Yusof, bagaimanapun mengakui ia bukan satu tugas mudah dan menjangkakan bakal berhadapan tentangan sengit daripada naib juara edisi tahun lepas, Sabah, dan pasukan tuan rumah, Pahang.

Katanya pasukan kendaliannya tidak boleh leka atau mengambil mudah saingan kali ini walaupun pernah bergelar juara dua kali kerana setiap pasukan sudah pasti telah melakukan persiapan rapi.

"Kami sendiri juga memulakan persiapan sejak lebih sebulan lepas dan pada pandangan saya, semua pasukan ada kelebihan. Jadi, kami mengambil pendekatan untuk turun berjuang sepenuh hati dalam setiap perlawanan.

"Saya percaya kami boleh mengulangi kejayaan sebelum ini, ditambah pula dengan pemain baharu yang berpotensi untuk menyerlah ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Kejohanan yang akan berlangsung selama sembilan hari itu melibatkan penyertaan 14 pasukan lelaki dan 13 pasukan wanita kecuali pasukan wanita Sabah yang menarik diri.

Sementara itu, pengurus skuad wanita Pahang, Nuriza Sulaiman, berkata setakat ini, beliau menyasarkan pasukannya mara ke peringkat suku akhir sebelum memikirkan aksi di pentas final.

"Fokus utama kami dalam kejohanan kali ini adalah memberi pendedahan kepada pemain baharu. Sudah pasti kami mahu melangkah ke peringkat akhir, namun aksi di peringkat awal harus diberikan tumpuan terlebih dahulu.

"Kekuatan semua pasukan kali ini juga dilihat seimbang dan kami selaku juara bertahan menghormati setiap pasukan bertanding dan akan cuba memberi saingan hebat kepada mereka," katanya.

-- BERNAMA