Penyerang kelab hoki Kuala Lumpur (KLHC), Mohd Syamim Yusof, kecewa apabila kelab gergasi itu tidak mendaftar dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 sehingga memaksanya merisik pasukan baru bagi meneruskan karier.

Syamim tidak pernah bertukar pasukan sejak menyertai KLHC lapan tahun lalu.

Namun, dia perlu memulakan langkah merisik pasukan baru menjelang LHM 2019, Januari depan selepas tarikh tutup pendaftaran pasukan pada Jumaat lalu menyaksikan tiada kelibat KLHC.

Sebanyak lapan pasukan menyatakan persetujuan beraksi, sekali gus bermakna barisan pemain KLHC perlu mencari pasukan baru.

"Saya agak terkejut juga selepas lapan tahun mewakili mereka,. Saya benar-benar tidak menjangkakan perkara sebegini berlaku.

"Saya pun tidak tahu atas sebab apa KLHC ditutup.

"Jadi, saya perlu bersedia lebih awal untuk mencari pasukan, " katanya.

Syamim baru pulih daripada kecederaan betis yang memaksanya dimasukkan ke hospital selama sebulan. Dia sedang mendapatkan semula sentuhan sambil mencari peluang beraksi di luar negara sebagai pemanas badan LHM.

"Kecederaan kaki saya sudah pulih 100 peratus.

"Saya pernah menjalani ujian di gimnasium dan yakin sudah pulih sepenuhnya.

"Saya berminat bermain di luar negara, sama ada di Oman atau mana-mana sekalipun," katanya lagi.