Pengurus Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Brian Fernandez, menegaskan Piala Razak 2019 masih mengikut jadual dan hanya boleh dibatalkan menerusi Mesyuarat Pengurus Pertandingan, Khamis ini ekoran kebimbangan terhadap masalah pencemaran jerebu.

KHM sekadar mengikut prosedur cuaca Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Realitinya, prosedur itu tidak membabitkan masalah jerebu yang semakin teruk di Bukit Jalil.

Lantas, KHM akan menyerahkan perkara itu kepada semua pengurus pasukan bertanding.

"Kami akan berbincang dengan pihak Jawatankuasa Pertandingan untuk memutuskan sama ada saingan Piala Razak akan dipertandingkan ataupun sebaliknya," kata Fernandez.

"Kami bercadang untuk melanjutkan tempoh rehat dalam setiap suku permainan jika saingan diteruskan ketika masalah jerebu masih belum berkurangan."

Piala Razak 2019 akan membabitkan 14 pasukan kategori lelaki sementara wanita sebanyak sembilan pasukan.

Bagi saingan divisyen 1 lelaki, tumpuan ialah terhadap juara bertahan, Perak, yang memburu gelaran kelima.

Skuad kendalian Nizam Mohd Hashim itu, bagaimanapun, telah hilang khidmat enam pemain kebangsaan menerusi sesi latihan walaupun dalam keadaan tidak selesa.

"Sesetengah pemain menyatakan masalah jerebu ini mengganggu persiapan mereka. Keadaan cuaca ini bagaimanapun bukanlah sesuatu yang dapat kami kawal," kata kapten Perak, Shazrul Imran Nazli.

"Memang kurang selesa dan pengambilan minuman yang kerap amat diperlukan dalam keadaan cuaca sebegini," kata penyerang Perak, Arif Sabron.