"Verteidigen" dan "Mannzeichen" antara kosa kata yang perlu segera dipelajari bintang hoki wanita meningkat naik negara, Hanis Nadia Onn yang disunting kelab Jerman, Zehlendorfer Wespen Berlin, dan lebih membanggakan apabila beberapa lagi pemain akan berkelana ke Eropah selepas Sukan Asia Indonesia 2018.

Sebelum ini, sudah ada pencapaian pemain hoki wanita negara ke Eropah tetapi bersifat penempatan.

Ini kali pertama pemain wanita negara disunting atas merit bakat dan pengaruh meningkatkan kualiti kelab elit.

Zehlendorfer Wespen turut mengikat khidmat Wan Norfaizah Sayuti.

Dua lagi pemain, Nuraini Abdul Rashid -- penjaring terbanyak kejohanan siri Terbuka Singapura -- dan Fatin Shafika Sukri pula akan ke Itali apabila Butterfly Hockey Roma terdesak mendapatkan khidmat mereka dalam misi kembali ke Serie A.

"Saya akan berbincang dengan keluarga serta Universiti Putra Malaysia mengenai pengajian saya dan akan berangkat ke sana selepas tamat Sukan Asia," kata Hanis.

"Ia merupakan satu impian beraksi di Eropah. Peluang ini akan saya gunakan sebaik mungkin."

"Ini adalah peluang buat setiap pemain skuad hoki wanita negara kerana sesiapa pun yang terpilih beraksi di Eropah akan meraih satu pengalaman yang penting kerana persaingan liga di sana lebih kompetitif berbanding Malaysia," kata Nuraini pula.