Skuad hoki negara berpeluang membalas dendam ke atas Jepun apabila berentap dalam Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin, Australia bermula Selasa depan dengan komitmen tonggak senior seperti Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil yang sedia menggalas cabaran.

The Malaysian Hockey Tigers memulakan sesi latihan pertama selepas tewas kepada Jepun dalam final Sukan Asia, dua minggu lalu.

Kekalahan itu masih dirasai apabila terlepas tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Walaupun masih kecewa, namun tugas perlu diteruskan, apatah lagi Malaysia masih berpeluang ke Tokyo menerusi kejohanan kelayakan, Siri Hoki, bermula tahun depan.

"Kami akan terus berjuang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Pemain-pemain perlu tetapkan semangat," kata Tengku Ahmad Tajuddin.

"Ini merupakan latihan pertama selepas tamat Sukan Asia. Bagi saya, setiap pemain perlu teruskan perjalanan skuad hoki negara," kata Firhan Ashaari.

Kejohanan Empat Penjuru di Darwin akan membabitkan Malaysia, Australia, Jepun dan Argentina.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sudah menghantar rayuan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk mendapatkan kuota Olimpik memandangkan Jepun layak sebagai tuan rumah.

Kongres FIH akan bersidang di New Delhi, India pada 1 hingga 3 November depan.