Seramai 18 pemain hoki lelaki dan wanita negara menghadiri proses penilaian semula Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil hari ini bagi mencari punca kegagalan mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Proses itu turut melibatkan pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seramai enam pemain skuad wanita dipanggil dalam sesi pagi tadi, termasuk ketua pasukan, Siti Nor Amarina Ruhani.

"Saya berasa agak gementar untuk berada di depan panel yang sebegitu ramai.

"Saya hanya memberikan pendapat dan pandangan apabila mereka bertanya mengenai kelemahan pasukan dan tentang apa yang perlu diperbaiki dalam kejohanan yang seterusnya.

"Ia satu perbincangan yang amat bagus dan saya amat menghargainya," katanya.

Mengenai kedudukan ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, Siti Nor Amarina menambah: "Saya tidak boleh memberikan sebarang komen mengenai perkara ini kerana masih belum tahu dan KHM juga masih belum membuat ketetapan terbaru.

"Bagi saya, ia terpulang kepada persatuan untuk menentukan barisan kejurulatihan skuad wanita."



Editor: Muzaffar Musa