Senarai kecederaan panjang dalam skuad hoki negara memaksa ketua jurulatihnya, Roelant Oltmans, untuk memanggil semula pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, bagi memperkuatkan The Malaysian Hockey Tigers menjelang Jelajah Eropah bermula 21 Julai depan.

Pemain itu menjalani latihan semula selepas digugurkan Mac lalu.

Ia ekoran jurulatih itu amat memerlukan pemain berpengalaman setelah beberapa tonggak utama seperti Haziq Shamsul, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran dan Firhan Ashaari terpaksa digugurkan gara-gara kecederaan.

Bekas tonggak negara itu sudah tiga bulan tidak beraksi bersama skuad kebangsaan, namun dia tidak berasa kekok untuk mencabar posisi tengah itu biarpun kali terakhir mewakili negara dalam Piala Dunia di Bhubaneswar, India, Disember lalu.

"Bagi saya, ia merupakan persaingan yang sihat.

"Sesiapa sahaja yang berpeluang dan terpilih, perlu menggunakan peluang yang ada.

"Apabila saya dipanggil semula untuk menyertai skuad kebangsaan, saya akan membuktikan yang saya sudah bersedia untuk beraksi di posisi saya kembali," katanya.

"Selepas berbincang beberapa minggu lalu, ia amat jelas bahawa dia masih mampu untuk membantu kami melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Dalam masa sama, dia perlu membuktikannya dalam sesi latihan selama beberapa minggu ini," tambah Oltmans pula.

Di sebalik isu kecederaan yang melanda, Oltmans menegaskan kemasukan Nabil Fiqri merupakan yang terakhir dan tiada lagi penambahan pemain selepas ini memandangkan skuad negara hanya mempunyai tempoh sebulan sebelum memulakan Jelajah Eropah

"Kami tidak akan menambah mana-mana pemain.

"Pasukan ini sudah cukup baik dan kami mempunyai pemain yang mencukupi untuk melakukan apa yang kami perlukan dan apa yang kami mahu lakukan," katanya.