Skuad hoki lelaki negara akan berdepan kelab gergasi Belanda, Bloemendaal HC, untuk aksi pemanas badan menjelang pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas ketua jurulatih, Roelant Oltmans, mendapat maklum balas negatif daripada Perancis.

Jurulatih itu terpaksa merangka pelan B selepas Perancis keberatan untuk melayan Malaysia bagi aksi pemanas badan menjelang perlawanan pusingan kelayakan menentang Great Britain, 2 dan 3 November depan.

Pengendali berusia 65 tahun itu sedang berunding dengan dua kelab Belanda dan salah satu daripadanya ialah Bloemendaal HC yang memiliki rekod cemerlang sebagai juara liga negara berkenaan.

"Kami sepatutnya bertemu Perancis tetapi mereka mempunyai perlawanan seminggu lebih awal, jadi ia tidak mungkin berlaku.

"Kemungkinan besar kami akan ke Belanda.

"Buat masa ini, pasukan terbaik di Belanda ialah Bloemendaal, jadi kami berpeluang besar untuk bertemu mereka," katanya.

Bloemendaal HC juga pernah menjuarai Liga Hoki Eropah sebanyak tiga kali.

Malaysia akan berlepas ke Korea Selatan, Khamis depan bagi menghadapi lima aksi persahabatan di sana.

Skuad negara kemudian merancang untuk ke Eropah sebelum bersedia di London.

"Kami sudah beberapa kali berlatih di Altitude Chamber tetapi ia amat berbeza berbanding cara normal.

"Untuk ke Eropah bagi merasai iklim berbeza seperti cuaca berangin, hujan dan sejuk amat berbeza dengan apa yang kami ada di sini.

"Saya mahu ke sana tetapi cuaca di England pasti berbeza," tambahnya.