Baru tiga hari memulakan tugas, jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, berdepan cabaran membentuk pertahanan mantap menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) setelah kehilangan beberapa tonggak, dengan yang terbaru, Muhammad Razie Abd Rahim ditimpa kecederaan.

Kehilangan Razie bermakna Malaysia bukan sahaja tempang di benteng pertahanan, namun turut kurang seorang pakar pukulan sudut penalti.

Malaysia tinggal dua individu sahaja lagi, iaitu Faizal Saari dan Shahril Saabah, untuk menggalas tugas tersebut.

Namun, masalah lebih ketara di pertahanan apabila hanya ada tiga pemain seperti Sukri Mutalib, Faiz Helmi Jali dan Syed Syafiq Cholan, yang cergas.

Oltmans terpaksa menukar posisi beberapa pemain untuk menampung kekosongan tersebut.

"Kami akan melakukan perubahan dengan ketiadaan Razie. Kami akan membuat perancangan baru untuk saingan ACT," kata Oltmans.

Saingan ACT yang akan berlangsung di Oman bermula 18 Oktober ini bakal menjadi ujian pertama Oltmans dalam membuktikan kredibilitinya.

Rekod Malaysia dalam saingan itu adalah menduduki tangga ketiga dalam empat edisi berturut-turut sejak 2011.

"Ia merupakan sesuatu yang normal kerana sasaran pasukan adalah muncul juara dalam setiap kejohanan yang disertai," ujarnya.