Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, merancang untuk menggugurkan beberapa pemain senior, termasuk penjaga gol, S. Kumar, dalam membentuk pasukan 2020 sambil bekas ketua jurulatih hoki wanita kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, masih belum membuat keputusan bagi memohon kontrak baru.

Oltmans merupakan antara lapan jurulatih yang dipanggil untuk melalui sesi panel bedah siasat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Pengendali kelahiran Belanda itu mengakui gagal mencapai sasaran utama dan merancang menggugurkan beberapa pemain senior yang dianggap sudah terlalu berusia untuk mewakili negara.

"Kami akan mula dapatkan tenaga baru. Kumar kini berusia 40 tahun, tidak masuk akal untuk dia terus beraksi walaupun tidak dinafikan dia melalui karier yang sangat cemerlang.

"Kami harus melihat pemain yang boleh beraksi dalam Piala Dunia 2023 dan Sukan Olimpik 2024 kerana itu matlamat sebenar," katanya.

Malaysia gagal ke Sukan Olimpik Tokyo selepas tewas 9-3 secara agregat di tangan Great Britain ketika aksi playoff kelayakan temasya itu tahun lalu.

Dalam masa sama, Oltmans turut menerima sasaran KHM untuk Malaysia sekurang-kurangnya layak ke final Piala Sultan Azlan Shah, April depan.

"Jika anda menyertai kejohanan, anda mahu menang. Itu sentiasa menjadi sasaran yang tidak mudah, terutama apabila melibatkan kelompok yang berbeza. Sasaran boleh ditetapkan tetapi tempoh masa juga perlu diambil kira," tambah Oltmans.

"Sejak diberitahu tentang jurulatih diberikan tempoh tiga bulan untuk rehat dan menghantar permohonan semula sekiranya berminat, ketika ini saya telah mengendalikan Terengganu Hockey Team (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) dan turut menerima beberapa tawaran lain dalam aspek pembangunan serta kejohanan kecil," ujar Dhaarma.

"Walaupun pemain ada hubungi saya agar kekal bersama pasukan dan dalam tempoh empat tahun, KHM telah memberi sokongan terbaik tetapi saya fikir keadaan mengelirukan.

"Tempoh 10 tahun dalam arena antarabangsa, ia memberi tekanan hebat buat kesihatan saya sehingga terfikir untuk berehat sebentar bagi mendapatkan kekuatan semula.

"Apa pun, selepas berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan, saya akan cuba buat keputusan," katanya lagi.



Editor: Nafis Abdullah