Pemain muda skuad hoki negara, Norsyafiq Sumantri, selesa mengalami perubahan daripada seorang pemain hoki dalam dewan kepada pemain hoki padang dalam misi membantu Malaysia mengharungi kempen Piala Sultan Azlan Shah.

Norsyafiq pernah membarisi skuad remaja kendalian Wallace Tan sebelum diserap masuk ke skuad hoki dalam dewan bimbingan jurulatih, Muhamad Amin Abdul Rahim, untuk menghadapi Sukan SEA tahun lalu.

Kualiti yang dimiliki Norsyafiq menarik perhatian jurulatih negara, Stephen Van Huizen, untuk diserap sebagai pelatih kebangsaa, dan kini impian pemain itu untuk menyarung jersi skuad kebangsaan seperti abang dan kakaknya, Nor Izzat dan Norazlin, tercapai.

"Saya berasa ada peningkatan tetapi jurulatih yang boleh menilai. Saya juga berasa yakin bermain dalam hoki padang ini.

"Ia ditambah lagi dengan bimbingan dan sokongan daripada rakan sepasukan," katanya selepas skuad Malaysian Tigers tewas 1-3 kepada Australia di Ipoh, malam tadi.

Selain Norsyafiq, tiga lagi pemain muda yang turut membarisi skuad negara adalah Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.

Sementara itu, penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, pula kini memegang jumlah penampilan paling banyak dalam skuad kebangsaan dengan 238 penampilan setelah ketiadaan Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan juga penjaga gol berpengalaman, S. Kumar.

"Bagi saya, jumlah penampilan ini akan memberikan keyakinan di peringkat antarabangsa dan ia akan membantu kita di atas padang," kata Tengku Ahmad Tajuddin.