Jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, bersedia untuk merombak pasukannya menghadapi Kejohanan Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh, Jun depan biarpun skuad kendaliannya menamatkan penantian empat tahun untuk menduduki podium dalam Piala Sultan Johor, Sabtu lalu.

Cabaran sebenar skuad remaja negara itu akan tiba Jun depan di mana empat pasukan terbaik dalam Kejohanan Asia akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia Remaja 2021.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke kejohanan itu ialah dalam edisi di New Delhi, India pada 2012.

Dalam edisi di Lucknow, India pada 2016, skuad negara dipilih untuk menggantikan Pakistan yang menarik diri.

Justeru, kejayaan menewaskan Jepun 3-2 dalam penentuan tempat ketiga, Piala Sultan Johor wajar dijadikan pencetus semangat untuk skuad kendalian Nor Saiful Zaini itu meraih penampilan ke-10 dalam Piala Dunia

"Sudah pasti kami ada pemain utama.

"Mereka merupakan tulang belakang pasukan.

"Ada lebih kurang enam, tujuh orang (pemain utama).

"Tetapi yang selebihnya itu mungkin bertukar ganti.

"Kemungkinan besar akan ada pemain yang lebih bagus akan lahir menjelang hujung tahun ini.

"Jadi, kami perlu lihat siapa yang akan lahir," katanya.

Selain itu, Nor Saiful Zaini juga berharap agar kem latihan pasukannya dapat dimulakan seawal Disember ini untuk memastikan persiapan lebih rapi menjelang Kejohanan Asia.

"Kami harus bermula awal.

"Kejohanan kelayakan pada bulan Jun, jadi kami mungkin perlu memulakan latihan sepenuh masa bermula hujung November atau Disember," tambahnya.