Nor Saiful sasar Piala TNB

Oleh Staff Writer 13 Februari 2019 439
Nor Saiful sasar Piala TNB
Fokus pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini beralih kepada persiapan Piala TNB 26 Februari ini setelah harapan untuk menjadi juara Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 kian tipis setelah tumpas kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

TNB kini di tangga kedua liga dan berbeza empat mata dengan pendahulu, UniKL, yang mengutip 25 mata.

Pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, bersikap realistik dengan mengakui bahawa persaingan untuk memintas kedudukan itu semakin sukar dengan baki empat perlawanan sambil mustahil untuk UniKL keciciran mata.

Beliau berharap anak buahnya sekurang-kurangnya mengekalkan tangga kedua liga sementara meletakkan tumpuan kepada saingan separuh akhir Piala TNB.

"Saya berasakan peluang semakin tipis untuk memintas UniKL. Kami tidak memandang untuk muncul juara liga, dengan peningkatan dalam setiap perlawanan menjadi keutamaan," katanya.

TNB bakal berdepan dengan pasukan adik, TNB Thunderbolts, Jumaat ini, bagi saingan liga dan Nor Saiful mahu anak buahnya mencari jumlah jaringan yang banyak untuk memberi kelebihan buat mereka.

TNB sebelum ini sudah pun meraih satu kejuaraan pada awal musim, iaitu Piala Tan Sri P. Alagendra, dan mereka berhasrat untuk menambah satu lagi koleksi sebagai penutup musim 2019.

"Thunderbolts telah menunjukkan peningkatan dengan mengejutkan Terengganu Hockey Team sebelum ini. Kami akan cuba mencari jalan untuk mengatasi mereka," kata penyerang skuad TNB, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen