Kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, menjangkakan cabaran lebih sukar buat Malaysia dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Donghae, Korea Selatan bermula Ahad ini.

Empat pasukan gergasi Asia menjadi tentangan buat Malaysia, iaitu China, India, Jepun serta tuan rumah, Korea Selatan, dalam kejohanan itu.

Noor Amarina melihat kekurangan tempoh persiapan bagi menghadapi kejohanan itu bukan halangan utama, sebaliknya percaya dengan kemampuan skuad negara.

"Selepas menjalani latihan selama dua minggu, kami akan membuat persiapan yang membantu meningkatkan keyakinan pasukan menghadapi kejohanan ini," katanya.

Seramai 18 pemain disenaraikan ketua jurulatih, Muhammad Dharmaa Raj Abdullah, bagi membawa cabaran Malaysia di Korea.

Antara mereka termasuk dua pemain bawah 18 tahun yang beraksi dalam kelayakan Sukan Olimpik Remaja di Bangkok, Thailand tempoh hari, iaitu Nur Maizatulhanim Syafi serta Nor
Asfarina Isahyifika.

Noor Amarina percaya pembabitan mereka dalam skuad senior dapat membantu meningkatkan lagi prestasi masing-masing untuk merebut tempat ke Sukan Asia, Ogos nanti.

"Daripada sudut positif, ia adalah peluang kepada mereka membuktikan kebolehan dan sebagai pemain senior, kami akan membimbing mereka menghadapi kejohanan peringkat senior ini," katanya lagi.