Skuad hoki lelaki Malaysia mungkin dipalit kekecewaan di pentas final Sukan Asia 2018, namun ia bukan satu pengakhiran buat Malaysian Hockey Tiger, menurut legenda hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi.

Skuad hoki terlepas tiket automatik ke pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas di tangan Jepun menerusi penentuan penalti 3-1 ketika final Sukan Asia baru-baru ini, setelah kedudukan terikat 6-6 dalam waktu permainan sebenar.

Kegagalan Faizal Saari, Meor Muhammad Azuan Hasan dan Tengku Ahmad Tajuddin menyempurnakan pukulan penalti menyaksikan Jepun memenangi pingat emas, sekali gus meragut kelayakan automatik Malaysia untuk beraksi di Tokyo, dua tahun lagi.

Bagaimanapun, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dilaporkan akan melakukan rayuan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menerusi saluran Persekutuan Hoki Asia (AHC) bagi mendapatkan slot selaku pasukan kedua terbaik memandangkan Jepun akan beraksi di pentas Olimpik sebagai tuan rumah.

Bagi Mirnawan dia tidak melihat kekalahan itu sebagai satu kekalahan walaupun Malaysia bukan sekadar terlepas peluang untuk mengesahkan tiket ke Olimpik lebih awal, malah terpaksa menunggu lebih lama untuk menamatkan penantian selama 18 tahun.

"Saya bercakap dengan pemain-pemain daripada hati ke hati dan dapat melihat semangat yang ada dalam diri mereka," kata Mirnawan.

"Ada juga pemain yang menghantar pesanan ringkas kepada saya sebelum aksi final, mahu membawa Malaysia ke pentas Olimpik. Saya faham, apabila mereka tewas di tangan Jepun, moral mereka berada pada tahap paling bawah."

"Saya sendiri pernah berada dalam situasi itu. Pada tahun 1993, ketika saingan kelayakan Piala Dunia 1994 di Sydney, Australia, di mana jika layak, ia bakal menjadi pentas Piala Dunia yang pertama buat saya.

"Saya berjaya di pentas Sukan Olimpik 1992 Barcelona, jadi menyimpan hasrat untuk ke Piala Dunia. Kami mendahului Belgium 3-1 tetapi mereka mempamerkan kebangkitan dan kami tewas menerusi penentuan penalti. Saya menangis sehari semalam kerana gagal tetapi bertekad untuk tidak melalui situasi sebegitu lagi," tambahnya.

"Jika dilihat, memang sukar untuk pemain-pemain untuk pulih daripada kekecewaan tetapi untuk seorang atlet profesional, mahu atau tidak, usaha perlu dilakukan untuk bangkit. Kegagalan ini harus dijadikan satu pemangkin dan azimat untuk menjadi lebih kuat.

"Masih belum tertutup jalan buat Malaysia untuk ke Olimpik 2020 dan tiada apa yang mustahil."