MHL: Maybank berpesta gol ke atas Nur Insafi

Oleh Staff Writer 18 Januari 2020 225
MHL: Maybank berpesta gol ke atas Nur Insafi
Kapten skuad hoki Maybank, Hafifi Hafiz Hanafi, mengetuai kejayaan membelasah Nur Insafi-Kedah, 9-3 dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Ia sekali gus memastikan skuad The Tigers itu terus bersaing merebut takhta liga musim ini.

Pujian perlu diberikan kepada barisan serangan yang diketuai Hafifi Hafiz yang kerap mengancam kubu lawan.

Ia menjadi kunci utama dia dan penyerang lain seperti Mohd Amerullah Zainol dan Mohd Haziq Shamsul, masing-masing dapat menjaringkan dua gol.

Pertahanan muda, Mohd Nor Ashraf Ishak, pula mula mencipta nama sebagai pakar pukulan sudut penalti apabila meledakkan dua gol daripada gerakan itu.

Satu gol lagi dijaringkan oleh pemain tengah, Alfaraco Lance Liau Jr.

"Kami terpaksa mencari keyakinan selepas kalah kepada TNB tempoh hari.

"Kami memerlukan jaringan daripada pukulan sudut penalti.

"Hari ini, kami telah membuktikan kami boleh menjaringkan gol dalam setiap keadaan," kata Hafifi Hafiz.

Ketua jurulatih, Azrul Effendy Bistaman, menambah: "Ia jumlah jaringan yang bagus.

"Memang kami sudah merancang dari awal untuk mendapatkan gol yang banyak.

"Pendekatan kami dalam perlawanan ini adalah untuk mendapatkan gol sebanyak mungkin.

"Sasaran kami adalah untuk berada dalam kelompok tiga teratas liga.

"Perbezaan jaringan mungkin akan memainkan peranan," katanya.

Turut mencuri tumpuan adalah penyerang Nur Insafi, Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi, yang meledakkan hatrik, namun ia tidak dapat menghalang kekalahan keempat mereka.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen