MBI juara hoki kerajaan tempatan kebangsaan

Oleh Azizan Hashim 10 September 2019 59
MBI juara hoki kerajaan tempatan kebangsaan
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjuarai Kejohanan Hoki 7s Sukan Malaysia Persatuan Majlis Kerajaan Tempatan (Association of Local Authorities, MALA) 2019 berlangsung di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka, hujung minggu lalu.

MBI menewaskan Pasukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 1-0 dalam perlawanan akhir untuk meraih hadiah wang tunai RM2,000.

Skuad bimbingan bekas pemain negeri, Mohd Ezral Bin Ariff, itu ternyata berada dalam kelas sendiri dalam kejohanan disertai 10 pasukan apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah serta tidak dibolosi sebarang gol.

MBI mengungguli peringkat kumpulan dengan menumpaskan Majlis Perbandaran (MP) Kemaman 1-0; MP Pasir Gudang (3-0), MBPJ  (1-0) dan MP Sepang (3-0).

Pasukan itu layak ke final selepas mengatasi Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP) 1-0 dalam separuh akhir.

MBPJ pula mengatasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam separuh akhir. 

MBMB bagaimanapun menebus kekecewaan mereka dengan mengatasi MBSP 2-0 dalam penentuan tempat ketiga. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen