Jurulatih penjaga gol skuad hoki remaja negara, S. Kumar, mahu anak buahnya menambahkan usaha tatkala Kejohanan Piala Asia Remaja di Dhaka, Bangladesh berbaki empat bulan lagi.

Atas kredibiliti dan pengalaman diraih selama 20 tahun berkhidmat untuk negara, Kumar diberi kepercayaan mengendalikan barisan penjaga gol skuad muda remaja kebangsaan.

Perkara itu menyaksikan dia bertanggungjawab atas lima nama yang memainkan peranan sebagai penjaga gol dalam merebut 25 slot terbaik.

Bagaimanapun, pengendali berusia 40 tahun itu mengakui mereka perlu diberi lebih banyak pendedahan kejohanan selain menguasai kemahiran asas terlebih dahulu.

"Saya selalu percaya, asas penting untuk mendorong penjaga gol menjadi lebih bagus. Apa yang nampak, mereka bergelut dengan perkara asas tetapi untuk masa akan datang, mereka boleh meningkat," katanya.

Sementara itu, bekas tonggak skuad kebangsaan itu juga percaya dengan barisan sedia ada dan yakin tidak mustahil untuk skuad muda negara mengulangi pencapaian cemerlang menjuarai Sukan Olimpik Belia di Buenos Aires pada 2018 dengan bantuan ketua jurulatih, Wallace Tan.

"Apabila asas kurang, ia memerlukan masa yang lama. Untuk tahap remaja, mereka boleh bermain tetapi perlu dapatkan pendedahan," ujar Kumar.