Pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) masih belum pasti mengenai masa depan karier masing-masing susulan keputusan pasukan itu menarik diri daripada Liga Hoki Malaysia (LHM) musim 2019.

KLHC sedang berdepan krisis yang mungkin menyebabkan mereka "gulung tikar" tidak lama lagi, sekali gus tidak lagi mengambil bahagian dalam saingan LHM.

Lantas, ia mencetuskan tanda tanya buat pemain pasukan berkenaan yang telahpun dimaklumkan oleh pihak pengurusan kelab itu.

Mereka diberikan pilihan untuk terus kekal bersama kelab sehingga kemelut itu selesai ataupun mencari pasukan lain untuk musim depan.

Bagi Muhammad Razie Abdul Rahim, dia mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum memutuskan langkah berikutnya.

"Itu keputusan yang dibuat oleh pengurusan KLHC. Saya sebagai pemain tidak boleh membantah keputusan yang telah dibuat.

"Kita tengoklah rezeki tahun depan sebab perkara ini masih baru berlaku. Saya tidak boleh jangka lagi," katanya.

Pandangan sama turut disuarakan oleh seorang lagi pemain KLHC, Mohamad Sukri Abdul Mutalib.

Dia mengakui situasi itu amat mengejutkan tetapi pada masa sama kekal tenang dalam menentukan masa depannya.

"Saya tidak mahu komen banyak sebab perkara itu belum sah 100 peratus. Tetapi apa yang saya tahu setakat ini, itulah yang akan berlaku.

"Secara jujurnya, saya belum memikirkannya dan hanya fokus kepada kerja saya di SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil) dan dalam skuad kebangsaan. Itu sahaja," kata Sukri.

Untuk rekod, KLHC merupakan antara kelab tempatan yang mempunyai reputasi besar dengan meraih enam kejuaraan liga selain empat kali menjuarai Piala TNB.