Pemain tengah skuad hoki lelaki negara, Muhammad Marhan Abdul Jalil, kembali menjalani latihan intensif bersama pasukan kebangsaan selepas berehat seminggu ekoran sambutan Aidilfitri.

Dalam tempoh enam minggu lagi, The Speedy Tigers bakal menghadapi cabaran persahabatan Siri Jelajah Eropah yang melibatkan pasukan handalan dunia seperti Belgium, Jerman dan Sepanyol.

Tonggak berpengalaman itu enggan berputih mata selepas muncul naib juara Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Kuala Lumpur dengan tumpuan utama adalah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, kegusaran Marhan tetap ada tatkala pemain utama, Hairi Abd Rahman dan Mohd Haziq Shamsul, masih tidak menyertai dan memperkuatkan pasukan akibat kecederaan.

"Kami akan ke Eropah dan bermain dengan pasukan ranking tinggi. Bagi saya, jurulatih yang membantu telah memiliki program tersendiri. Jadi, kami berada dalam keadaan sangat cergas untuk menghadapi saingan ini," katanya.

Sementara itu, pemain muda meningkat naik, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan skuad senior kebangsaan dalam usaha memastikan dapat mengikut rentak permainan rakan sepasukan.

"Saya perlu perbaiki kelemahan saya seperti menjaringkan gol serta menerima bola. Mungkin rasa berdebar memang tetap ada dan rentak untuk beraksi bersama pemain lain masih belum diraih," jelasnya.