Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menganggap kejayaan pasukannya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Banbridge, Ireland Utara, kelmarin sebagai pencapaian terbaik yang pernah diraih setakat ini.

Baginya, reputasi The Malaysian Tigress yang dahulunya hanya sebagai pasukan belasahan, kini sudah semakin terhapus sebaik memaparkan aksi cemerlang dalam kejohanan berkenaan.

"Kita perlu sedar, pasukan hoki wanita (negara) sebelum ini hanya pasukan belasahan.

"Kita selalunya dibelasah (lawan).

"Ia langkah yang positif untuk meningkat hingga ke tahap ini dan ia merupakan pencapaian yang besar di peringkat dunia.

"Jika kami layak ke pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik, ia merupakan situasi yang amat-amat istimewa buat hoki wanita," katanya.

Kejayaan meraih tempat ketiga itu, bagaimanapun, masih belum berupaya untuk memberikan skuad negara tiket kelayakan automatik ke pusingan play-off kelayakan ke Sukan Olimpik.

Namun, Dhaarma tetap optimis pasukannya akan meraih slot berkenaan berdasarkan kedudukan ranking terbaik walaupun Malaysia kini berada di kedudukan ke-22 -- hanya 19 pasukan terbaik akan layak secara automatik.

"Kami masih ada harapan walaupun mendapat tempat ketiga.

"Jika kami menduduki ranking 20 terbaik, kami masih boleh layak.

"Saya yakin kami boleh mendapatkan kedudukan itu kerana kemenangan ke atas Republik Czech akan memberikan kami kelebihan 25 mata berbanding mereka.

"Sekarang ini, mereka hanya berkelebihan 19 mata ke atas kami.

"Ia merupakan sesuatu yang bagus dan mata dalam Sukan Asia juga belum dicampur lagi," katanya.