Skuad hoki lelaki negara gagal menyaingi kehebatan juara Piala Dunia 2018, Belgium, apabila tewas 1-5 dalam aksi ujian kelima Siri Jelajah Eropah di Antwerp, Belgium, semalam.

Ia merupakan kekalahan keempat dicatat skuad kendalian Roelant Oltmans itu sejak kemenangan 4-2 ke atas pasukan ranking ketujuh dunia, Jerman, 26 Julai lalu.

Malaysia, yang menghuni ranking ke-12 dunia, tewas 0-1 di tangan Sepanyol 31 Julai lalu, sebelum tewas 4-6 dan diikuti 2-6 kepada pasukan di ranking ketiga dunia, Belanda, Selasa dan Khamis lalu.

Dalam aksi malam tadi, Belgium di bawah bimbingan Shane McLeod tidak berdepan masalah merobek gawang negara untuk mendahului 2-0 seawal minit kelapan menerusi jaringan padang Cedric Charlier pada minit ketujuh dan Nicolas de Kerpel seminit kemudian.

Tersentak dengan kedudukan itu, Malaysia bangkit memberi tentangan selepas berjaya menyerap tekanan pasukan lawan, namun Tom Boon berjaya mencuri peluang meledak gol ketiga Belgium pada minit ke-24 menerusi gol padang.

Malaysia yang enggan menyerah kalah berjaya memperoleh gol pertama hasil jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-34 untuk merapatkan kedudukan 3-1.

Bagaimanapun, Belgium dengan status pasukan gergasi, ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menambah dua gol yang masing-masing dijaringkan Florent van Aubel pada minit ke-51 dan Victor Wegnez (m-57), sekali gus mengesahkan kemenangan di laman sendiri.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi dalam aksi ujian keenam Siri Jelajah Eropah pada Isnin ini.

-- BERNAMA