MALAYSIA 2 ARGENTINA 3

Hasrat skuad The Malaysian Hockey Tigers untuk mengekang pasukan gergasi dunia, Argentina, dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Sultan Azlan Shah yang bermula Sabtu ini tidak kesampaian apabila tewas 2-3, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Hoki Bukit Jalil, Malaysia dikejutkan dengan gol pembukaan oleh Lucas Vila pada minit ke-19.

Tersentak dengan jaringan itu, anak-anak buah Stephen Van Huizen cuba mengatur gerakan untuk mendapatkan gol penyamaan.

Biarpun Argentina yang menduduki tangga teratas dalam kedudukan dunia dilihat memiliki kelebihan daripada aspek fizikal, namun Malaysia tampak berkeyakinan tinggi apabila lebih mendominasi hampir keseluruhan suku kedua permainan.

Usaha The Malaysian Hockey Tigers untuk memburu jaringan penyamaan berhasil pada minit ke-31 menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi apabila pemain berusia 22 tahun itu bijak menyudahkan hantaran jarak jauh oleh kapten, Muhammad Razie Rahim, untuk menewaskan penjaga gol Argentina, Juan Vivaldi.

Perlawanan tergendala seketika seminit kemudian apabila berlaku pertelingkahan kecil di antara kedua-dua pasukan susulan insiden hayunan kayu hoki Juan Lopez terkena kaki Nik Aiman, namun situasi itu pantas dikawal oleh pengadil.

Bintang sensasi Argentina yang mewakili Terengganu Hockey Team (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Gonzalo Peillat, kembali meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-46 apabila menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti, sekali gus menjadikan kedudukan 2-1.

Vila sekali lagi meletakkan nama dalam senarai penjaring dua minit kemudian selepas menyudahkan bola muntah hasil percubaan awal Nicolás Della Torre untuk membuatkan penjaga gol kebangsaan, Hairi Abdul Rahman, tewas buat kali ketiga.

Skuad negara cuba mempamerkan kebangkitan menerusi gol kedua hasil percubaan Muhammad Azri Hassan pada minit terakhir perlawanan, namun segalanya telah terlambat untuk mengekang Argentina daripada meraih kemenangan 3-2.

Malaysia bakal memulakan saingan dalam Piala Sultan Azlan Shah pada Sabtu ini berdepan Ireland, sementara Argentina akan menentang India di Stadium Azlan Shah, Ipoh.