Malaysia adalah antara empat negara yang akan bersaing dalam Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin 2018 di Stadium Hoki Marrara di Darwin, Australia, dari 18 hingga 22 September depan.

Menurut laman sesawang Hockey Australia, www.hockey.org.au, tiga negara lain adalah pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 Argentina, pasukan di ranking ke-16 dunia, Jepun, dan tuan rumah, Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Hockey Australia, Matt Favier, berkata pihaknya gembira apabila melihat kejohanan berkenaan mendapat sokongan memberangsangkan daripada peminat dan pemain pada setiap tahun.

“Hockey Australia berasa teruja kejohanan edisi ketiga pada 2018 bakal membariskan pasukan terbaik antarabangsa,” katanya.

Berkongsi pandangan sama adalah pemain Australia, Jeremy Hayward, yang menyifatkan kejohanan empat negara itu adalah platform terbaik bagi mengukur kemampuan skuad ‘Kookaburras’ sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia Hoki Lelaki 2018 di India pada November depan.

“Argentina adalah juara Olimpik, jadi mereka akan memberi saingan yang sangat sengit, manakala Malaysia dan Jepun juga akan beraksi dalam Piala Dunia, jadi mereka juga sedang membuat persiapan sama seperti kami,” katanya.

“Jepun sebuah pasukan yang sedang meningkat bagi menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo manakala Malaysia sentiasa mampu memberi ancaman dan boleh menewaskan mana-mana pasukan jika berada di prestasi terbaik,” kata Hayward yang juga merupakan bintang hoki Darwin.

Berdasarkan jadual pertandingan yang dikeluarkan Hockey Australia, Malaysia akan memulakan kempen menentang Australia pada 18 September, Jepun (19 September) sebelum melengkapkan aksi pusingan awal berdepan Argentina, dua hari kemudian.

Dua pasukan yang mengumpul jumlah mata tertinggi akan mara ke pentas akhir dan dua pasukan terbawah akan bersaing bagi merebut tempat ketiga dan keempat.

BERNAMA