Skuad hoki wanita negara meneruskan aksi cemerlang dengan membenam pasukan bawah 21 tahun Jepun 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ia merupakan pertemuan ketiga kedua-dua pasukan selepas Jepun mencatat kemenangan 3-1 dalam perlawanan pertama Ahad lalu, sebelum Malaysia pula melakar kemenangan 3-1 kelmarin.

Bagaimanapun, dalam perlawanan terbaru itu, skuad Jepun terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi Miyu Suzuki.

Malaysia terpaksa menunggu sehingga suku kedua untuk menyamakan kedudukan apabila Nuraslinda Said bijak mencuri ruang untuk menewaskan penjaga gol Jepun, Hikari Hisatomi, pada minit ke-20.

Jaringan tersebut menyemarakkan lagi semangat anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan mereka berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-28, kali ini menerusi Nur Amirah Shakirah Zulkifli.

Malaysia seterusnya menambah jaringan ketiga hasil pukulan sudut penalti daripada Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-42.

Nur Nabihah Mansur melengkapkan kejayaan skuad negara apabila menjaringkan gol keempat Malaysia lima minit kemudian.

Skuad negara akan membuat perhitungan terakhir dengan skuad B-21 Jepun esok untuk melengkapkan siri perlawanan persahabatan berkenaan.

"Walapun pasukan Jepun mendapat tiga atau empat peluang, mereka mampu menjaringkan gol. Saya tetap kecewa kerana kami melepaskan gol itu," kata Dhaarma.

Sementara itu, jurulatih skuad B-21 Jepun, Kazunori Kobayashi, berkata: "Malaysia bermain bagus, mereka cukup laju. Namun, saya gembira barisan saya juga cuba memberi saingan dan kami ada satu lagi perlawanan untuk diharungi."