Malaysia gagal mendapat hak tuan rumah Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki 2023 selepas India menjadi pilihan bagi kali kedua berturut-turut selepas edisi lalu di Bhubaneswar pada 2018.

Selain India, Malaysia dan Jerman disenarai pendek untuk bidaan tersebut sebelum India dipilih oleh Lembaga Eksekutif, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam mesyuaratnya di Lausanne, Switzerland, hari ini.

India akan menganjurkan Piala Dunia dari 12 hingga 29 Januari 2023 -- kali keempat selepas edisi 1982 di Bombay, 2010 (New Delhi) dan 2018 di Bhubaneswar.

Selain itu, FIH juga memilih Sepanyol dan Belanda sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia Wanita 2022​​​​​​​ dari 1 hingga 17 Julai.

“FIH telah menerima tawaran bidaan yang menarik untuk kejohanan berprestij ini dan sukar untuk membuat pilihan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil, dalam kenyataan yang dipaparkan dalam laman web badan induk dunia itu.

Oleh kerana misi utama FIH membangunkan sukan hoki di seluruh dunia memerlukan pelaburan, maka potensi penjanaan pendapatan oleh setiap pembida memainkan peranan penting dalam membuat keputusan memilih tuan rumah, katanya.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun 1975 dan 2002, kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan FIH itu, lembaga tersebut meluluskan proses kelayakan untuk kedua-dua Piala Dunia Lelaki dan Wanita, iaitu tuan rumah layak secara automatik diikuti lima juara benua manakala baki 10 pasukan akan ditentukan melalui perlawanan play-off secara timbal balik.

Sebanyak 20 pasukan dalam pusingan kelayakan akan dipilih mengikut kuota benua berdasarkan ranking FIH selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kedudukan akhir pasukan dalam kejohanan benua.

-- BERNAMA