Ketua Pegawai Eksekutif, Persekutuan Hoki Asia (AHF), Datuk Tayyap Ikram, melahirkan pandangan terhadap Malaysia yang seharusnya turut menumpukan kepada pembangunan sukan hoki dalam dewan memandangkan mempunyai reputasi sukan hoki di pentas antarabangsa.

Saranan Tayyap itu berlandaskan kepentingan hoki dalam dewan sebagai platform yang lebih mudah untuk mencungkil bakat baru.

Namun, selepas temasya KL2017 berakhir pada Ogos lalu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, enggan Malaysia menumpukan perhatian terhadap pembangunan hoki dalam dewan, sebaliknya mengkuhkan prestasi hoki padang dalam mencapai misi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Untuk rekod, skuad hoki dalam dewan negara meraih pingat emas menerusi pasukan lelaki dan gangsa bagi wanita dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Sebagai permulaan, Malaysia telah memiliki skuad hoki dalam dewan tetapi persoalannya adalah bagaimana untuk meluaskannya. Anda boleh lihat bagaimana proses penyertaannya.

"Saya rasa pada masa depan, ia akan menjadi lebih profesional," kata Tayyap yang ditemui ketika majlis penyampaian sijil kepada peserta Akademi Hoki Raja Ashman Shah di Ipoh, Perak hari ini.

Bagaimanapun, saranan Tayyap itu tidak tertumpu kepada Malaysia sahaja, malah beberapa kuasa besar di Asia seperti India dan Korea Selatan yang dilihat kurang memberi tumpuan terhadap perkembangan hoki dalam dewan.

Ketika ini di rantau Asia, Iran sahaja yang dilihat serius dalam pembangunan sukan itu dengan yang terbaru, meraih gangsa dalam Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Berlin, bulan lalu.

"Promosi untuk kemudahan itu perlu dilakukan.

"Iran boleh berkongsi gelanggang dengan sukan lain seperti bola keranjang dan saya rasa perkara sama boleh dilakukan kepada hoki dalam dewan," katanya lagi.