Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan sulung Hoki Lima Sebelah Peringkat Asia, acara antarabangsa buat julung kali untuk pasukan remaja lelaki dan perempuan B-16, Februari tahun depan.

Naib Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF), Datuk Manjit Majid Abdullah, berkata kejohanan itu akan berlangsung di Kuala Lumpur di atas padang rumput.

Beliau berkata ini sejajar dengan hasrat bekas Presiden AHF, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berasakan hoki lima sebelah perlu kembali ke padang rumput.

Manjit berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) , Dr Narinder Dhruv Batra, ketika beliau menghadap Al-Sultan Abdullah, Mei tahun ini.

“Kami mengadakan perbincangan dengan pengendali venue dan mereka gembira dengan penganjurannya. Buat masa ini, kami melihat kepada B-16 tetapi kami juga meneroka idea untuk menganjurkan kejohanan antara kelab dalam kategori terbuka serta kategori veteran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manjit berkata Lembaga Pengarah Eksekutif AHF yang dijadual bermesyuarat di Kuala Lumpur bulan depan akan diberikan taklimat mengenai kejohanan itu.

“Kami berharap kebanyakan negara akan menghantar pasukan dan dalam mesyuarat bulan depan, kami boleh menilai maklum balasnya,” katanya.

Malaysia memperoleh pingat emas dalam hoki remaja lelaki lima sebelah dalam Sukan Olimpik Belia 2018 dengan menewaskan India 4-2 dalam perlawanan akhir di Parque Polideportivo Roca, Buenos Aires, Argentina.

-- BERNAMA