Malaysia atasi Wales dalam aksi pemanas badan

Oleh Staff Writer 24 April 2019 256
Malaysia atasi Wales dalam aksi pemanas badan
MALAYSIA 2 WALES 0

Skuad hoki negara dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi pasukan ranking ke-24 dunia, Wales, 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Kemenangan itu melonjakkan tahap keyakinan skuad kendalian Roelant Oltmans itu menjelang aksi pembukaan kempen Siri Dunia Akhir FIH menentang Brazil di gelanggang sama, Jumaat ini.

Sekalipun Wales diletakkan dalam Kumpulan A bersama Kanada, Austria dan Belarus, pasukan dari Eropah itu yang baru tiba di Malaysia, mempamerkan permainan bertahan yang baik hingga suku kedua.

Bagaimanapun, kubu pertahanan ampuh mereka sekadar bertahan hingga minit ke-20 apabila Faizal Saari berjaya meledak jaringan menerusi pukulan sudut penalti untuk gol pertama Malaysia.

Meor Azuan Muhamad Hassan menambah jaringan kedua buat skuad bimbingan Oltmans itu untuk menyaksikan Malaysia mendahului dengan dua gol tanpa balas.

Tiada corak permainan yang agresif dipamerkan kedua-dua pasukan hingga tamat perlawanan, dengan langkah berjaga-jaga yang diambil menjelang kempen kelayakan Olimpik itu.

Selepas Brazil, Malaysia di ranking ke-13 dunia akan meneruskan cabaran dalam Kumpulan B berdepan China, Ahad ini, sebelum Itali menjadi halangan seterusnys Isnin depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen