Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, menyifatkan Malaysia antara dua calon pilihan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022/2023 kerana memiliki kemudahan terbaik selain jumlah peminat yang ramai.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) patut meletakkan Malaysia sebagai calon pilihan berbanding Jerman, Sepanyol dan India.

Negara ini memiliki beberapa venue terbaik dunia seperti di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru atau Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Stadium juga sentiasa penuh, terutama membabitkan aksi skuad kebangsaan di Johor dan Perak.

"Piala Sultan Azlan Shah sentiasa dihadiri beberapa negara utama dalam saingan hoki dan ia adalah bukti Malaysia mampu menganjurkan Piala Dunia," kata Oltmans.

Malaysia pernah menganjurkan Piala Dunia 1975 dan 2002.

Antara tiga calon lain, Sepanyol paling lama tidak menganjurkan Piala Dunia, iaitu selepas menjadi tuan rumah edisi pertama pada 1971.

Sementara itu, Oltmans sudah mengenal pasti beberapa pemain muda untuk menjalani ujian kecergasan skuad kebangsaan, 10 Mac depan.

"Mereka perlu menunjukkan kebolehan mereka dalam saingan liga. Saya menyaksikan sekurang-kurangnya dua atau tiga perlawanan bagi mengenal pasti pemain untuk diserapkan dalam skuad negara," ujarnya.