ARGENTINA 1 MALAYSIA 2

Malaysia mengakhiri siri jelajah perlawanan persahabatan dengan skuad hoki Argentina di Buenos Aires dengan kemenangan 2-1, semalam.


Malaysia berusaha keras dalam perlawanan terakhir mereka di Buenos Aires selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima pertemuan sebelum ini.

Dua gol daripada Shahril Saabah dan Shamsul Haziq menceriakan kem Malaysia sebelum Argentina merapatkan jurang menerusi Pedro Ibarra hasil pukulan sudut penalti.

Meskipun perlawanan tersebut dimainkan dalam tempo tinggi, barisan pemain negara tampak sudah dapat menyesuaikan diri.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatat satu kemenangan, satu seri dan empat kekalahan sepanjang menjalani perlawanan persahabatan dengan Argentina.

"Kita dapat menyumbat gol dan pemain pun menunjukkan sikap yang sangat baik dan positif.

"Kami mahukan kemenangan ini sebelum pulang ke Malaysia," kata ketua pasukan negara, Sukri Mutalib.

"Pada awalnya, kami belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan fizikal di sini.

"Dalam perlawanan ketiga, barulah kami mula nampak peningkatan apabila hanya kalah tipis, seri sekali serta meraih kemenangan dalam aksi terakhir," tambahnya.

Malaysia akan pulang pada Isnin ini dan penjaga gol negara, S. Kumar, menyimpulkan kunjungan itu memberi makna besar dengan berkata: "Malaysia menunjukkan peningkatan besar dalam setiap perlawanan."