Malaysia akan bida anjur Kejohanan Hoki Siri Dunia

Oleh Staff Writer 3 Jun 2018 592
Malaysia akan bida anjur Kejohanan Hoki Siri Dunia
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan berada dalam fasa akhir dalam usaha menganjurkan Kejohanan Hoki Siri Dunia 2019 yang dianggap sebagai pelan kecemasan dalam menjamin Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menerusi Mesyuarat Lembaga Eksekutif KHM Ke-12 semalam, badan induk itu mengesahkan hasrat untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu sudah hampir pasti.

Ia bakal menjadi pelan kecemasan untuk skuad hoki lelaki negara andai tidak berjaya meraih emas Sukan Asia untuk menempah slot ke Olimpik 2020.

Untuk Siri Dunia 2019, Malaysia perlu menamatkan saingan itu sekurang-kurangnya di tempat kedua bagi merebut peluang ke temasya terbesar dunia itu.

"Ia memerlukan strategi daripada kami. Bukan kami tidak yakin (layak ke Olimpik). Seperti kita tahu, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam sukan. 

"Tetapi kami mahu memastikan kami memberikan usaha terakhir bagi mendapatkan kelayakan Olimpik," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Selain itu, KHM juga mengesahkan akan membida dua lagi kejohanan utama dunia, iaitu Kejohanan Hoki Siri Dunia Wanita 2021 serta Piala Dunia Lelaki 2022.

Kesemua bidaan ini akan dihantar secara rasmi kepada Persekutuan Hoki Dunia (FIH) minggu depan.

"Kami sebenarnya dijemput oleh FIH untuk membuat bidaan tetapi kami tidak boleh teruskan bidaan itu tanpa pengesahan daripada jawatankuasa. 

"Jika jawatankuasa kata okay, kami akan teruskan. Sudah tentu ia sangat berprestij sekiranya dapat menganjurkan Piala Dunia," kata Subahan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen