Selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM), Pasukan Hoki Terengganu (THT) akan turun bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) petang ini dengan hasrat menjaga maruah pasukan itu.

Jurulatihnya, I. Vikneswaran, berkata THT tidak akan beraksi sambil lewa walaupun sebarang keputusan tidak akan mengubah kedudukan mereka di tangga ketiga liga.

Namun, apa yang merisaukan bekas pemain negara itu ialah fokus skuad bimbingannya yang dilabelnya tidak 100 peratus bersedia sehingga melakukan kesilapan individu.

"Musim ini kami sering dibolosi bukan kerana kehebatan pasukan lawan, sebaliknya kerana salah sendiri apabila ada pemain tidak menjalankan tugas dengan baik.

"Selain membawa maruah pasukan, THT masih ada sesuatu untuk dibuktikan dan sudah tentu saya mahukan kemenangan," kata Vikneswaran.

Sebaik tamat saingan liga, THT akan berdepan lawan sama minggu depan dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala TNB -- peluang terakhir THT menjulang trofi musim ini.

Prestasi tidak menentu THT, ditambah kecederaan pangkal paha yang dialami pakar flik, Jang Jong-hyun, seolah-olah menambah garam di luka mereka.

"Saya tidak pasti Jong-hyun sempat beraksi atau tidak tetapi saya pasti tentang satu perkara: Pemain-pemain THT perlu ada karakter bukan sahaja dalam 60 minit perlawanan, bahkan persediaan daripada segi emosi," tambahnya.