Liga Hoki Remaja: Roslan optimis peluang SSTMI kekal kejuaraan

Oleh Staff Writer 14 Jun 2019 789
Liga Hoki Remaja: Roslan optimis peluang SSTMI kekal kejuaraan
Ketua jurulatih skuad Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt, Wan Mohd Roslan Wan Abdul  Rahman, yakin anak buahnya mampu meraih kejuaraan hatrik dalam saingan Liga Hoki Remaja 2019 yang bakal bermula 27 Jun ini.

Sebelum ini, SSTMI Thunderbolt bergelar juara berganda apabila menewaskan Akademi Hoki Pahang dalam aksi final 3-0 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sekali gus menamatkan penantian mereka untuk kembali memegang status juara berganda di peringkat remaja selepas kali terakhir melakukannya tiga tahun lalu.

"Hasrat kami tahun ini adalah mengekalkan kejuaraan dan kami lihat ada saingan daripada keempat-empat pasukan Thunderbolt. Kami mengharapkan SSTMI dapat memberi saingan terbaik, pemain menunjukkan komitmen serta dapat mengekalkan kejuaraan," katanya.

Walaupun Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memperkenalkan format baru tahun ini, Roslan yakin anak didiknya sudah bersedia dan mampu menyerlah musim ini.

"Kami ada 13 perlawanan liga. Saya cukup yakin pemain kami cukup bersedia dan boleh mengharungi saingan dengan sebaik-baiknya. Diharapkan kami tidak melepaskan peluang dan mata dengan mudah."

KHM mengambil keputusan hanya saingan Divisyen Satu bakal dipertandingkan membabitkan 14 pasukan lelaki dan sembilan pasukan wanita bagi merebut gelaran juara musim ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen