Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mengharapkan keberkesanan taktik serangan balas dan kekuatan pertahanan pasukannya mampu memanipulasi kekuatan lawan ketika beraksi dalam Separuh Akhir, Liga Hoki Wanita Dunia di Belgium nanti.

Berada dalam kumpulan maut, Dhaarma menyedari anak buahnya tidak mampu mengatasi pihak lawan jika kekuatan Malaysia diukur daripada segi fizikal dan pengalaman semata-mata.

Kelemahan ketara skuad negara terarah kepada cara pengawalan bola dan Dhaarma tidak mahu situasi itu menjadi "lubuk" kepada pihak lawan.

Pengendali ini cuba untuk mengatasi kelebihan pihak lawan menerusi keberkesanan serangan balas dengan syarat pertahanan negara perlu benar-benar berada dalam keadaan bersedia sepanjang perlawanan.

Sejak dua minggu lalu, penekanan Dhaarma terarah kepada cara untuk mencuri bola daripada pihak lawan dan seterusnya melancarkan serangan balas.

"Penguasaan bola merupakan antara kelemahan pasukan, jadi ia perlu dipertingkatkan oleh pasukan," katanya.

Sebagai persediaan, Dhaarma memilih skuad lelaki untuk menguji keberkesanan corak latihan yang diterapkannya dan ternyata ada perubahan daripada segi keyakinan anak buahnya.

"Kini permainan pasukan bertambah baik dan lebih kerap mencuri bola daripada lawan. Ini merupakan strategi yang mahu saya ketengahkan ketika beraksi di Belgium nanti."