Kejayaan skuad hoki negara meraih tempat keempat dalam kempen separuh akhir Liga Dunia membuka mata jurulatih dan pemain ternama dunia bahawa Malaysia mampu menjadi pembunuh gergasi, malah layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Siapa sangka Malaysia mampu meraih tempat keempat di Stadium Hoki Lee Valley, London dengan menyingkirkan India di peringkat suku akhir.

Ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, tenang menyerap tekanan selepas bermula buruk apabila meraih tangga ketiga di peringkat kumpulan.

Malaysia kemudian menumbangkan juara Asia, India, di peringkat suku akhir hingga menjadi tajuk perdebatan adakah Malaysia -- pasukan di ranking ke-14 dunia -- akan menjadi gergasi benua.

Ia bukan soal pencapaian pasukan, malah kemampuan pemain.

Penjaga gol negara, S. Kumar, pula mencuri tumpuan apabila dinobatkan selaku penjaga gol terbaik kejohanan selain pemain pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, muncul antara penjaring terbanyak dengan lima gol.

Meskipun jentera serangan agak tumpul, namun Faizal Saari membuktikan sentuhan berbisanya dengan beberapa jaringan kelas dunia.

"Berdepan dengan Malaysia, mereka memberi saingan sengit dan sebuah pasukan mantap menerusi kawalan bola yang menarik.

"Kami sedar ancaman yang mampu diberikan dan amat lega dapat meraih medal," kata ketua pasukan England, Phil Roper.

Sementara itu, penyerang Argentina, Lucas Villa, turut berwaspada dengan kelibat Malaysia pada masa akan datang dengan berkata, "Malaysia sebuah pasukan yang sedang meningkat naik dan melayakkan diri ke Piala Dunia."

Secara keseluruhan, Malaysia menjaringkan 17 gol dan dibolosi 21 kali.

Lebih 75 peratus daripada gol Malaysia adalah melalui pukulan sudut penalti atau pukulan penalti strok, sekaligus petanda penyerang perlu lebih tajam mencari gol padang.

14 bulan menjelang Sukan Asia di Indonesia, Malaysia perlu memperbaiki kelemahan ini atau India, Korea Selatan, Pakistan, Jepun dan China akan mengakhiri cerita kehebatan Malaysia di London.