Persiapan skuad hoki lelaki negara untuk menghadapi pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh tetap berjalan lancar di sebalik saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) yang hampir sampai ke kemuncaknya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Logan Raj, skuad kendalian Stephen Van Huizen tetap mampu memberikan cabaran hebat di Dhaka nanti.

Ketika ini, mereka menjalani latihan setiap hari Isnin dan Selasa sepanjang tiga minggu menjelang saingan di Dhaka dengan final LHM pada 26 Februari.

Kecederaan yang menimpa beberapa pemain seperti Haziq Shamsul serta Faizal Saari mengundang sedikit resah tetapi Logan percaya kemampuan pengganti mereka untuk menyerlah.

Skuad negara dijangka mengadakan aksi persahabatan dengan China selepas bertolak ke Dhaka, 28 Februari ini.

"Kami telah melakukan keputusan yang tepat menjelang aksi di Dhaka, saya berharap skuad hoki negara mampu meraih keputusan yang positif," katanya selepas mesyuarat lembaga eksekutif kesembilan KHM hari ini yang dipengerusikan presiden, Datuk Seri Subahan Kamal.

Antara yang dibincangkan ialah perancangan bagi menghadapi Sukan SEA 2017 yang membabitkan pasukan hoki dalam dewan, dengan bekas pemain kebangsaan, Kevin Lim, menjadi antara pilihan untuk menyertai barisan kejurulatihan.

"Kami membawa masuk Kevin bagi membantu persiapan skuad hoki negara menghadapi Sukan SEA, saya yakin Malaysia mampu membutirkan empat pingat emas daripada acara hoki," kata Subahan.

Peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir Liga Dunia lelaki dilihat lebih cerah dalam menghadapi saingan di Bangladesh, berbanding di Trinidad & Tobago sebelum ini.

Malaysia akan memulakan kempen di Dhaka berdepan cabaran tuan rumah 4 Mac ini, sebelum menentang Oman, dan kemudian Fiji dalam saingan Kumpulan A nanti.