ENGLAND 7 MALAYSIA 3

Hasrat Malaysia untuk menebus kekalahan dalam aksi pertama saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia tidak kesampaian apabila tewas di tangan England 7-3 di Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley, London sebentar tadi.


Selepas tewas 5-2 dalam aksi pertama kepada Argentina, Malaysia memasang impian untuk meraih kemenangan dalam perlawanan kedua berdepan pasukan tuan rumah.

England terlebih dahulu menghasilkan aksi cemerlang selepas berjaya membuka jaringan pada minit kelima perlawanan hasil percubaan Barry Middleton sebelum Christopher Griffiths menggandakan jaringan tiga minit kemudian.

Tanpa berasa cemas, Malaysia kembali mengatur langkah untuk cuba menembusi gawang England dan berjaya meledak gol pertama menerusi pukulan penalti strok pada minit ke-19 yang disempurnakan oleh Faizal Saaari.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen terus mempamerkan aksi garang dalam usaha mencari gol penyamaan.

Hasilnya, sembilan minit kemudian, penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, berjaya menampan masuk bola bagi menjadikan kedudukan 2-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Malaysia sekali lagi ketinggalan selepas pemain England, Sam Ward, menyempurnakan pukulan sudut penalti sejurus separuh masa kedua bersambung semula sebelum Middleton berjaya menewaskan penjaga gol negara, S. Kumar, dua minit kemudian.

Pada minit ke-39, England terus gah di hadapan selepas menjadikan kedudukan 5-2 hasil jaringan Mark Gleghorne.

England terus menghukum Malaysia dengan dua lagi jaringan menerusi Ward dan Gleghorne sebelum Faizal Saari merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti pada penghujung perlawanan.