Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, berpuas hati selepas menamatkan sesi latihan terakhir di Malaysia dengan tumpuan selepas ini terarah untuk menguji Stadium Hoki Lee Valley -- venue separuh akhir Liga Dunia di London, England.

Suasana ceria tergambar dalam sesi latihan terakhir The Malaysian Hockey Tigers, malam tadi.

Seramai 18 pemain utama nampak tidak tertekan dan bersedia untuk menghadapi tiga aksi pemanas badan di venue kejohanan itu nanti.

Malaysia akan menentang skuad pembangunan England pada Jumaat nanti, disusuli aksi dengan Wales dan Kanada.

"Persiapan kami di Malaysia sudah selesai di mana kami cuba memperbaiki bahagian yang sepatutnya.

"Apa yang penting adalah tiga aksi persahabatan di London nanti sebagai ujian untuk kami mendapatkan rentak permainan.

"Kalau perlu buat rombakan, kami akan lakukan," katanya.

Malaysia, pasukan di ranking ke-14 dunia, tidak pernah beraksi di Stadium Hoki Lee Valley sejak ia dibina sempena Sukan Olimpik London 2012.

Ketua pasukan, Sukri Mutalib, pula mahu segera menyesuaikan diri dengan venue pertandingan apabila berkata, "Sepanjang bergelar pemain kebangsaan, saya sendiri tidak pernah beraksi di London.

"Tiga perlawanan persahabatan adalah satu langkah baik untuk kami menguji permukaan padang dan pukulan sudut penalti."

Skuad negara akan memulakan kempen Kumpulan A menentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Argentina, 17 Jun nanti.

Misi utama negara perlu sekurang-kurangnya layak ke suku akhir bagi mencerahkan peluang ke Piala Dunia 2018.