The Malaysian Speedy Tigers berikrar untuk memastikan kempen pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, berakhir dengan nota juara.

Selepas mudah membenam Mesir 5-0 dalam aksi separuh akhir siang tadi, maka sasaran awal pasukan bimbingan Stephen Van Huizen untuk mara ke perlawanan akhir sudah tercapai.

Begitupun, pemain-pemain negara masih dahagakan kejayaan untuk meraih gelaran juara dengan syarat mereka menyekat hajat besar China, esok.

"Kami dah mencapai sasaran awal untuk ke perlawanan akhir.

"Kami perlu berdepan satu lagi perlawanan, saya harap kami akan bawa kejuaraan dari kejohanan ini," kata Muhammad Razie Abd Rahim.

Impian pemain pertahanan itu turut dikongsi dua lagi rakan sepasukannya, Fitri Saari dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil.

"Kami dah berjaya mencapai sasaran kami dan seterusnya layak ke pusingan ketiga Liga Dunia.

"Kemenangan ini juga untuk pasukan dan rakyat Malaysia," kata Fitri.

Bagi Tengku Ahmad Tajuddin pula, "Saya berbangga dapat membantu negara layak ke perlawanan akhir dan cuba untuk menjuarai pusingan kedua Liga Dunia kali ini."

Bagaimanapun, lain pula dengan penjaring terbanyak negara, Shahril Saabah, dan di sebalik enam gol yang telah dihasilkan, dia berpendirian, "Tahap permainan saya belum mencapai seperti yang saya inginkan.

"Untuk itu, saya mahu tunjukkan dalam perlawanan akhir esok."

Dalam perkembangan sama, jurulatih China, Cui Yingbao, hanya selangkah lagi untuk menjulang trofi pertama dalam kariernya apabila membimbing skuad Negara Tembok Besar itu menewaskan Oman 5-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

China belum pernah menjuarai mana-mana kejohanan anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan peluang itu hadir apabila berdepan Malaysia dalam final nanti.

"Masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki tapi saya gembira apabila China berjaya ke final.

"Saya harap kami dapat menjulang trofi pertama kerana ia penting untuk hoki di negara kami," katanya.

Dengan status Malaysia sebagai pilihan utama, pakar pukulan sudut penalti China, Du Talake, sedar mereka berdepan cabaran besar dalam merealisasikan impian mereka dengan melontarkan pandangannya, "Kami menghormati Malaysia sebagai pilihan utama kejohanan.

"Tapi, kami juga perlu menggunakan peluang ini untuk menjulang trofi pertama. Ia penting untuk kami."

Kredit imej: FIH