TLHT 3 PDRM BLUE WARRIORS 2

Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengukuhkan kedudukan teratas dalam carta Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) selepas mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-2 di Kuala Terengganu, petang tadi.


Skuad bimbingan Iman Gobinathan itu hanya memerlukan seminit untuk mendahului apabila gerakan Nur Syuhada Suhaimi dari sebelah kiri disudahkan dengan baik oleh Domashneva Vera.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad Blue Warriors memperkemaskan rentak dengan menyaksikan tiga pukulan sudut penalti Norbaini Hashim dinafikan penjaga gol TLHT.

Gol penyamaan PDRM hadir juga pada minit ke-36 menerusi Norazlin Sumantri yang pantas menyambung pukulan sudut penalti Nadia Abdul Rahman.

Tatkala kedudukan terikat 1-1, Chan Ying Ching Tiffany hampir sahaja menceriakan skuad pelawat, malangnya Bakhavaddin Glizal cemerlang menyelamatkan pintu golnya.

Bagaimanapun, penjaga gol Kazakhstan itu bolos pada minit ke-43 apabila Norbaini menjadikan kedudukan 2-1 buat PDRM. Namun jaringan itu hanya menyemarakkan kebangkitan TLHT.

Jaringan padang Nur Syuhada (m-50) serta Siti Rahmah Othman (m-55) memastikan tiga mata TLHT yang juga kemenangan ketiga berturut-turut mereka.