THLT 3 KL WIPERS 0

Skuad Terengganu Hockey Ladies Team (THLT) akhirnya merampas kembali gelaran juara Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2019 apabila menundukkan KL Wipers 3-0 di Stadium Tun Razak, sebentar tadi.


THLT menerajui takhta liga dengan 27 mata sambil dikejar rapat PDRM Blue Warriors dan PKS Uniten.

Berdepan KL Wipers, THLT tidak seharusnya menghadapi sebarang masalah memandangkan aksi pusingan pertama pada 21 Januari lalu menyaksikan mereka menang 6-0.

Namun, KL Wipers tetap memberikan tentangan sengit dan THLT terpaksa menanti sehingga penghujung suku kedua untuk meledak jaringan menerusi Rahmah Othman.

THLT terus memberikan tekanan kepada KL Wipers dan gol kedua mereka muncul pada minit ke-34, sekali lagi berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disudahkan Fatin Shafika Sukri.

Siti Noor Amarina Ruhani kemudian menambah derita KL Wipers apabila menjaringkan gol ketiga pasukannya.

Biarpun hanya berbaki satu perlawanan, THLT dinobatkan sebagai juara dengan 30 mata setelah dua pasukan pencabar tidak dapat menandingi pungutan mata mereka.

"Bukan mudah untuk kami bangkit selepas mengalami kekalahan kepada PKS Uniten tetapi hari ini, kami mencipta banyak peluang untuk muncul juara," ketua jurulatih THLT, Iman Gobinathan.

Ketua pasukan THLT, Siti Amarina, menambah: "Alhamdulillah kami muncul juara selepas mengharungi 11 perlawanan yang sangat memenatkan.

"Akhirnya, ia sesuatu yang (berbaloi) sebab kami mencapai matlamat musim ini."

Keputusan lain:

SSTMI 1 PKS UNITEN 5

PSHA MSSPP 0 Liaoning Infinite Space Hockey Club (LISHC) 16