KL WIPERS 1 PKS UNITEN 4

Tiga gol dalam tempoh 10 minit di hujung suku keempat membantu pasukan PKS Uniten menumbangkan KL Wipers 4-1 di Stadium Hoki Kuala Lumpur sebentar tadi untuk terus menghimpit kelompok teratas Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM).


PKS Uniten yang dibimbing penolong jurulatih kebangsaan, Lailin Abu Hassan, berhasrat untuk memberi tekanan kepada dua pasukan pendahulu, Terengganu Ladies dan PDRM Blue Warriors.

Kemenangan membelasah pasukan tercorot, PSHA-MSPP, 8-0 kelmarin menjadi pembakar semangat untuk mereka mengutip tiga mata apabila bertandang ke Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Pelawat bermula baik untuk mendahului pada minit kelapan menerusi penyerang kebangsaan, Hanis Nadiah Onn, yang menyempurnakan gerakan menarik daripada pukulan sudut penalti.

Dua suku berikutnya buntu tanpa jaringan sehinggalah permainan memasuki suku keempat setelah pemain KL Wipers, Nur Suraya Athira, memanfaatkan peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Tersentak dengan gol tersebut, PKS Uniten kembali menyusun permainan yang menyaksikan Raja Nor Sharina Raja Shabuddin menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-49, disusuli satu lagi gol menerusi Nuraini Ab Rashid pada minit ke-53.

Hanis Nadiah kemudiannya menjaringkan gol kedua peribadi untuk menoktahkan kemenangan 4-1 buat PKS Uniten.

"Kami fokus dalam pemburuan mata kerana percaya gol akan menyusul.

"Kami tidak kisah berapa banyak dapat menghasilkan gol, keutamaan kami ketika ini adalah kemenangan," kata Hanis Nadiah.

Tambah rakan sepasukannya, Nuraini: "Kami bergelut dalam suku keempat.

"Alhamdulillah kami dapat tingkatkan prestasi untuk mengutip tiga mata."

Keputusan lain:

SSTMI 0 Liaoning Infinite Space HC (LISHC) 6

Blue Warriors 0 Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) 1