Skuad Liaoning Infinite Space Hockey Club (LISHC) meraih tiga mata berharga dalam perlawanan pertama saingan Liga Hoki Malaysia Wanita 2019 selepas menumpaskan KL Wipers 4-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, 4-0 hari ini.

Skuad jemputan dari China kendalian Gao Lihua itu bermula baik dalam separuh masa pertama untuk menguasai perlawanan menerusi dua gol daripada Sui Qiaomeng dan Sun Yuyuan.

Ketinggalan dua gol, KL Wipers cuba mengejar menerusi peluang pukulan sudut penalti sebanyak tiga kali, namun benteng pertahanan LISHC nyata lebih utuh untuk menghalang.

Bersambung suku ketiga, LISHC terus menambah duka buat lawan apabila menambah jaringan menerusi gol padang, sekali lagi hasil penyudah tajam Qiaomeng.

Liu Xinyu akhirnya melengkapkan aksi cemerlang buat LISHC dengan gol ke keempat untuk mengesahkan kemenangan 4-0, sekali gus meraih suntikan semangat sebelum berdepan juara edisi lalu, PKS Uniten, dalam aksi seterusnya.

“Perlawanan pertama ini, kami menghadapi cuaca yang panas. Kami terlepas beberapa peluang yang baik tetapi saya gembira pemain menunjukkan prestasi yang sangat bagus,” kata Lihua.

"Memang pasukan lawan agak laju walaupun kami dibarisi ramai pemain muda. Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan tetapi agak malang kami tidak menggunakan peluang yang diraih di depan gawang. Lawan juga agak agresif," ujar A. Kannagi, ketua jurulatih KL Wipers.