MSN YOUNG LION 2 BJSS JUNIOR 2

MSN Young Lion gagal meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) apabila seri menentang BJSS Juniors 2-2 di Stadium Hoki Kementerian Pelajaran Malaysia, sebentar tadi.


Young Lion membuka tirai jaringan melalui gol padang Mohammad Rosni Jaafar pada minit ke-10.

BJSS Juniors bangkit dalam suku kedua selepas Muhammad Halif Mohd Fazly mengikat jaringan pada minit ke-19.

Young Lion kembali mendahului permainan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan padang Muhammad Adam Akhir Elias.

Ketika kemenangan sudah mula terbayang buat Young Lion, BJSS Junior meleburkan harapan itu apabila Muhamad Adam Yushaidy menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-48.

"Pemain-pemain gagal menampilkan permainan terbaik dalam perlawanan hari ini. Beraksi di laman sendiri, kami perlu meraih tiga mata tetapi kami perlu memperbaiki persembahan selepas ini," kata pengurus Young Lion, Shurizan Mansor.

"Melihat perlawanan hari ini, BJSS memiliki banyak peluang tetapi gagal untuk menyempurnakannya," kata jurulatih BJSS Junior, Lokman Yahya.

Sementara itu, skuad KL Wipers mencetak kemenangan pertama saingan LHRM selepas menewaskan MSNT-PHT-MSST 3-1 di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Aksi sengit ditampilkan kedua-dua pasukan sejak wisel permulaan dengan masing-masing berusaha mencari gol pendahuluan, namun tiada yang berjaya meletakkan pasukan masing-masing di hadapan dalam suku pertama.

Aksi semakin rancak memasuki suku kedua apabila kepantasan gerakan Muhamamd Imran Saiful Amir berjaya membuka tirai jaringan buat KL Wipers pada minit ke-24.

Kedudukan berubah dalam suku ketiga apabila KL Wipers menambah jaringan menerusi gol padang Muhammad Shafiq Abdullah pada minit ke-40.

Selang beberapa minit kemudian, Muhammad Irfan Mirza S. Irwadi mencetak nama selaku penjaring gol pembukaan buat skuad MSNT menerusi pukulan sudut penalti.

KL Wipers terus memberi duka kepada pihak lawan apabila Muhammad Ridhwan Muzair menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diraih, sekali gus menoktahkan kemenangan buat pasukan itu dalam suku keempat.

"Saya sangat berbangga dengan persembahan pasukan kami. Setiap perancangan diterapkan dengan sebaik mungkin. Kehadiran kapten pasukan, Pavindeep Singh, memberikan motivasi kepada rakan sepasukan untuk menampilkan persembahan terbaik," kata jurulatih KL Wipers, James Murthy.

"Kami tidak berada di tahap terbaik untuk perlawanan ini. Saya berasakan tahap kecergasan pasukan yang kurang memuaskan menyaksikan kami bergelut sepanjang permainan. Harapan kami adalah bangkit dalam perlawanan seterusnya," kata kapten MSNT, Irfan Mirza.

Keputusan Hari Ini

SSTMI JUNIOR 1-3 AHP-MSP THUNDERBOLT
MSSPP-PSHA 1-5 BJSS THUNDERBOLT
ANDERSON THUNDERBOLT 2-2 MBPJ TIGERS
SMKDBL –UNIKL-PHJ-MSNJ 5-0 SABAH JR (PHS / SHA-SSMS)
KL –WIPERS 3-1 MSNT-PHT-MSST
BJSS JR 2022 2-2 MSN/SSN PHPs YOUNG LION
SSTMI THUNDERBOLT 9-1 SSMS RESILIENT