LHRM: Tiga pemain kebangsaan taruhan Anderson Thunderbolt

Oleh Azizan Hashim 18 Jun 2019 1519
LHRM: Tiga pemain kebangsaan taruhan Anderson Thunderbolt
Anderson Thunderbolt mempertaruh cabarannya kepada tiga pemain remaja kebangsaan dalam Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2019, bermula Jumaat ini.

Mereka ialah Mohd Haikal Hasrin, Mohd Fahmi Khalid dan Syazwan Syafiq Basir yang mewakili Malaysia dalam Piala Sultan Johor, baru lalu.

"Trio ini menjadi sandaran Anderson untuk mengharungi kempen kali ini.

"Mereka akan dibantu 12 pemain daripada skuad musim lalu," kata ketua jurulatih, Mohd Nizam Hashim, dalam majlis pelancaran jersi dan memperkenalkan pemain Anderson Thunderbolt 2019 di dewan sekolah itu, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, yang mewakili Menteri Besar Perak.

Menurut Nizam, sasaran pasukan itu ialah mara ke final dan muncul juara.

Anderson akan memulakan kempen dengan bertemu Terengganu di Stadium Azlan Shah, Ipoh.

"Kami akan bermain tiga perlawanan awal di Ipoh.

"Saya berharap kami mampu mengutip mata penuh daripada ketiga-tiga perlawanan itu, " katanya. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen