MSNT 0 SSTMI THUNDERBOLT 2

Hasrat tuan rumah, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), untuk mendapatkan kemenangan sulung dalam Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2019 tidak kesampaian selepas tunduk 0-2 kepada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt, petang tadi.


Dalam aksi di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu itu, pintu gol MSNT bocor seawal minit kedua menerusi jaringan Syarman Mat Tee yang menyudahkan gerakan Muhammad Amirul Hamizan Azahar dari sebelah kiri.

SSTMI, yang juga pasukan pilihan kejohanan, tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan hasil jaringan padang Muhamad Faris Harizan pada minit ke-11.

Hujung suku kedua menyaksikan skuad pelawat nyaris memperoleh gol ketiga, namun pukulan sudut penalti Muhammad Hafiz Zauri (m-28) dinafikan penjaga gol Terengganu, Mohamed Fikir Mohamat Nor.

Terengganu berusaha memperkemaskan aksi dalam suku ketiga, namun barisan penyerang yang diketuai Wan Muhammad Ikram Wan Tarmizi gagal melepasi kawalan pertahanan SSTMI.

Pengalaman nyata memisahkan kedua-dua pasukan apabila permainan didominasi SSTMI sepenuhnya tetapi gagal menterjemahkan penguasaan itu kepada tambahan jaringan.

Jurulatih Terengganu, Chairil Anwar Aziz, berkata dia berpuas hati dengan keupayaan pasukannya mengehadkan jaringan gol pelawat.

Begitupun, prestasi Terengganu menurutnya masih perlu diperkemaskan untuk penampilan sulung dalam liga utama remaja tersebut walaupun mengungguli pusingan playoff.

"Tahun lepas kami beraksi dalam Divisyen 2 dan peluang beraksi bersama pasukan lebih baik merupakan pendedahan untuk pemain-pemain saya.

"Misi utama Terengganu adalah untuk beraksi dalam liga utama dan ia sudah pun tercapai.

"Kami akan tingkatkan prestasi dari semasa ke semasa," kata bekas tonggak negara itu.