SSBJ THUNDERBOLT 4 KL WIPERS 1

SSBJ Thunderbolt mudah meraih kemenangan 4-1 ke atas KL Wipers dalam saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.


Aksi dalam suku pertama bermula hambar apabila kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang jaringan sebelum SSBJ tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Amirul Khairuddin pada minit ke-27.

Muhammad Amirul Hanif kemudian terus meletakkan SSBJ selesa dengan kelebihan dua gol selepas meledak jaringan padang pada minit ke-32.

Selang beberapa minit, Mohd Adam Daniel mengukuhkan kedudukan SSBJ menerusi jaringan gemilangnya sebelum Irfan Raziq Syakir merapatkan jurang buat Wipers pada minit ke-43.

Bagaimanapun, Amirul Hanif mengesahkan kemenangan 4-1 SSBJ menerusi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-51.

"Kami masih perlu berusaha lebih keras kerana banyak membazirkan peluang.

"Kami juga perlu mengkaji balik (cara) pukulan sudut penalti kami.

"Ia perlu diperbetulkan kerana masih terdapat pemain yang tidak faham," kata jurulatih SSBJ, S. Prakash.

"Pasukan saya adalah pasukan baru.

"Mereka amat muda dan tiada pengalaman.

"Apa yang kami cuba lakukan ialah menggunakan struktur yang berbeza.

"Sudah pasti kami berdepan pasukan yang lebih baik.

"Mereka jauh lebih baik berbanding kami," kata jurulatih Wipers, James Muruthy.